Category Archives: Jom Baca Kisah ‘Mirace’ Saya dengan BAD

BAD : Anak Dari Tak Suka Sekolah Tiba-tiba Berubah Hanya Dalam Masa 2 Minit!

Assalamualaikum w.b.t..

Kisah yang fina nak ceritakan ini adalah kisah ‘miracle’ pertama yang terjadi selepas fina mengaplikasi teknik BAD. Sebelum tu pasti ada yang tertanya-tanya apa kebenda la teknik BAD ni.. Teknik ‘tak elok’ ke? Atau teknik ‘teruk’ ke?

Tak mo bagi korang pikir bukan-bukan lagi. BAD adalah singkatan kepada ‘Bertanya Allah Dahulu’. Jadi untuk memudahkan(mungkin juga buat orang kompius) kita sebut saja BAD. Wahh.. Rupanya benda baik.. :)

Okeh dah paham apa itu BAD, macam mana pulak nak aplikasikan BAD ni?

Boleh dikatakan BAD ni boleh digunakan sepanjang kehidupan harian kita. Bila nak naik kereta, masa nak beli baju, time ada masalah kat tempat kerja, atau masa tengah tunggu result bola sepak. Kalau fina nak mention semua sampai besok pun tak habis lagi. Hehe..

Untuk lebih faham lagi apa itu BAD, macam mana nak guna dan apakah ‘miracle’ yang kita boleh dapat, jom baca kisah pertama ‘miracle’ fina dengan BAD.

Guna BAD untuk Anak yang Tak Mahu Pergi Taska.

Anak fina Nur Azra berusia 2 tahun. Apabila bekerja kami menghantarnya ke taska. Tetapi di sebabkan ayahnya bekerja shift, boleh kata selalu jugalah dia tak pergi taska semasa ayahnya kerja malam.

Jadi minggu ni ayahnya bekerja siang jadi terpaksalah azra ke taska. Semalam hari pertama dia je taska setelah sekian lama duduk di rumah je. Boleh agak la kan memang meraung bagai la tak nak ditinggalkan.

Sambil nangis azra berkata ‘ ibu anak olah..ibu anak olah..’ ( ibu taknak sekolah ). Sebagai seorang ibu sebak jugalah apabila anak menangis-nangis macam tu. Kadang- kadang rasa bersalah sangat kerana terpaksa tinggalkan anak sendiri pada orang yang langsung kita tak kenal.

Waktu tu jugak teringat fina masa kecil-kecil dulu. Seronok je duduk dengan mak sendiri. Kita dulu mak beri kasih sayang sepenuhnya, tak ada nak beri pada orang lain pun. Tapi kita sekarang anak baru 2 bulan dah terpaksa merisikokan bayi sendiri pada orang yang kita tidak kenal.

Yelah..nak buat macam mana kan. Ibu zaman sekarang ramai yang bekerjaya. Nak-nak lagi kalau duduk di bandar taraf hidup semakin tinggi, jadi isteri perlu bekerja untuk membantu suami.

Bila terfikir tentang besarnya pahala membantu suami bekerja, terasa pastinya berbaloi mengorbankan perasaan dan naluri seorang ibu. Hati kembali tenang dan positif.

Keesokan harinya sebelum ke taska fina cuba mengambil hati azra dengan membawanya ke kedai runcit. Biasanya memang aiskrim la yang menjadi sasaran. Selesai membeli fina terus menuju ke taska.

Dalam perjalanan, tiba-tiba fina terfikir mengapalah azra tak mahu sangat ke sekolah. Mungkinkah cikgu-cikgu nya terlalu garang. Atau ada budak-budak lain yang suka membulinya? Mula lah datang macam-macam sangkaan negatif.

Astagfirullahhalazim.. Fina tersentak dan terus istighfar. Kenapalah fina boleh terfikir sampai macam tu. Walaupun sedar kesilapan fina beranggapan negatif, rasa risau masih menebal dalam hati.

Dan syukur Alhamdulillah pada masa tu jugak fina teringat untuk Bertanya Allah Dahulu (BAD). Fina pun mengangkat sebelah tangan kerana sebelah tangan lagi memegang stereng kereta. Dengan rasa penuh rendah diri fina pun berdoa.

” Ya Allah.. Kau lembutkanlah hati anak ku ini untuk ke taska, Kau tenangkanlah hantinya jika dia gelisah, Kau gembirakanlah hatinya jika dia bersedih. Ya Allah..Kau lindungilah dia dari bala bencana dan perkara yang tak di ingini. Kau jadikanlah setiap orang melihatnya merasa kasih dan sayang padanya. Aamiin Ya Rabbal A’lamin..”

Begitulah doa yang fina panjatkan dalam waktu yang singkat tu. Sambil memandang azra yang semakin kurang tersenyum kerana dia tahu dia akan ditinggalkan. 2 minit selepas itu kami pun sampai di taska.

SubhanaAllah.. Maha Suci Allah.. Alangkah terkejutnya fina tiada lagi tangisan atau rintihan dari azra sesampainya di taska. Malah azra turun kereta sendiri menuju ke pintu taska. Memang fina betul-betul terpaku melihat tindakan drastik azra.

Fina terus mencapai beg taskanya dan berlari memeluknya dan berkata ‘pandainya anak ibu.. Macam ni la ibu sayang..’ . Sampai je di muka pintu cikgunya berdiri untuk menyambut azra.

Sekali lagi fina rasa kebesaran Allah s.w.t apabila cikgunya dengan gembira bercerita tentang celoteh azra di taska. Katanya dia paling suka dengan azra kerana rupa paras azra mirip anak saudaranya. Azra juga menjadi sangat manja dengannya dan selalu sangat dicium dan dipeluk olehnya. Katanya geram dengan badan azra yang berisi dan sedap dipeluk.

Ibu mana yang tak suka apabila anaknya disayangi penjaganya. Terasa anak lebih selamat apabila penjaga menyayanginya. Kerisauan dan pertanyaan yang selama ini membelenggu fina seakan hilang dalam sekelip mata sahaja. Malah masalah azra tidak suka ke taska terungkai hanya dalam masa 2 MINIT!

Wau.. Hebatnya kuasa BAD ni kan. Tak pernah fina jangka secepat itu doa fina dimakbulkan. Sesungguhnya benarlah Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kejadian ini benar-benar menambahkan keyakinan fina tentang kuasa Allah s.w.t..

Jadi, jom lah kita mengaplikasikan BAD ni dimana sahaja dan walau dalam keadaan apa sekali pun. Kerana yang RUGI nanti kita juga. Mengharap pada makhluk pasti kita akan kecewa. Tapi tidak pada Yang Maha Esa..(^_^)